GEORGE TOWN: Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) menggesa dialog dan kerjasama yang lebih erat antara negara-negara Islam untuk memanfaatkan ekonomi halal global yang bernilai US$3 trilion (US$1=RM4.60).

Pengerusinya Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata pada masa ini, negara-negara Islam tidak mengoptimumkan sepenuhnya penglibatan mereka dalam pelbagai aspek ekonomi halal, malah banyak yang perlu dibuat bagi meningkatkan rangkaian antara negara-negara ini.

“Daripada segi perolehan, pendapatan mereka (negara Islam) adalah besar tetapi penyertaan mereka dalam pasaran halal agak rendah iaitu hanya kira-kira lapan peratus. Bagaimanapun, kami telah menunjukkan prestasi yang baik dalam segmen perbankan Islam tetapi daripada segi saiz, pasaran sukuk terbesar adalah di London.

“Negara-negara Islam ini perlu melaksanakan lebih banyak perbincangan untuk mengambil kesempatan daripada potensi ekonomi halal. Kami tidak menggunakan sepenuhnya potensi ini daripada segi perdagangan dan pelaburan,“ katanya kepada pemberita semasa taklimat di Meja Bulat WIEF Pulau Pinang 2022 di sini hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Menurut Abdul Halim, walaupun Pulau Pinang merupakan antara pemain utama dalam sektor elektrik dan elektronik global, rantau Timur Tengah serta Afrika Utara (MENA) masih merupakan pasaran yang belum diterokai oleh negeri itu.

“Syarikat-syarikat besar di rantau MENA tidak menyedari kami dan platform yang ditubuhkan oleh WIEF ini boleh menjadi jambatan antara negara-negara Islam dan global,“ katanya.

Sementara itu, dalam ucaptama sebelum ini, Yang di-Pertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata situasi pasca pandemik dilihat memihak kepada negara dengan aliran masuk pelaburan langsung asing yang kukuh.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata negara perlu mengenal pasti, secara praktikal, bidang lain yang berpotensi bagi pengembangan serta yang mana ia mempunyai keupayaan untuk cemerlang seperti kewangan Islam, ekosistem halal, subsektor halal, pelancongan mewah serantau, ekopelancongan dan pelancongan perubatan.

“Mengenai pertanian, perlu bagi sesebuah negeri yang tidak mempunyai banyak tanah seperti Pulau Pinang untuk melihat kepada pertanian moden.

“Ini adalah soalan yang perlu dicari jawapan praktikal yang serius, kerana selepas itu, masa depan kami semua yang dipertaruhkan,“ katanya.

Acara sehari yang bertemakan “Pemulihan Ekonomi: Mengubah Masa Depan”, dihadiri oleh 362 peserta dari 15 negara seperti Indonesia, Filipina, Rusia dan Emiriyah Arab Bersatu.

Meja Bulat WIEF Pulau Pinang 2022, yang dihoskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang serta dianjurkan secara bersama oleh WIEF dan Penang Halal International, merupakan acara meja bulat ke-17 anjuran Yayasan WIEF dan yang kedua diadakan di Malaysia.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image