ALOR SETAR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat terus mengharamkan penggunaan telefon bimbit di dalam pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Menurut bekas Perdana Menteri itu perkara berkenaan dapat mengelak pengundi daripada 'membocorkan' kertas undian mereka kepada pihak tertentu.

“Bila tidak bawa telefon bimbit di tempat mengundi, mereka tidak boleh dedahkan siapa yang mereka undi. Tetapi, kalau bawa telefon bimbit masuk, boleh ambil dan hantar gambar berkenaan kepada pihak tertentu.

“Jadi, orang luar boleh tahu siapa yang mereka undi. Kalau yang hendak bagi duit, tunjuk pangkah parti, jadi kena bagi duit dan apabila banyak sangat penggunaan duit ia akan mempengaruhi keputusan undi seseorang,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, di sini kira-kira 10.55 pagi tadi.-Bernama