ALOR SETAR: Dua lelaki masing-masing didenda RM12,300 oleh dua Mahkamah Majisret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan khianat dan menakutkan secara jenayah.

Hukuman ke atas tertuduh iaitu Mohd Nain Ismail, 38, yang bekerja sebagai petani dan Asmadi Abu Hassan, 41, yang bekerja sebagai tukang kayu, dijatuhkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor dan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.

Di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama melakukan khianat dengan menyimbah cat ke rumah seorang individu dan dengan sengaja menakutkan secara jenayah seorang wanita berusia 50 tahun dengan cara menampal notis amaran supaya membayar hutang.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Jalan Perak di sini pada 2.39 petang, 10 Sept lepas.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Ruslan Usman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) H.A Chua.

Di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif, Mohd Nain dan Asmadi masing-masing didenda RM6,300 setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu secara bersama melakukan khianat dengan cara menyimbah cat ke sebuah rumah dan menakutkan secara jenayah seorang lelaki dengan cara menampal notis ugutan di rumah berkenaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Burhan, Jalan Langgar di sini pada 2.11 petang, 10 Sept lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam YBGK Nur Farhana Mohd Fadzil dan Saidina Khatijah Zaharah Khairunisak Mohd.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama serta Seksyen 506 kanun sama yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image