LONDON: Dua pertiga pekerja di United Kingdom (UK) yang mengalami gejala Covid yang berpanjangan mendakwa mereka dilayan secara tidak adil di tempat kerja dan satu daripada tujuh hilang pekerjaan, menurut laporan yang dikeluarkan pada Isnin.

Laporan yang dikeluarkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) dan badan amal Long Covid Support, menunjukkan hasil maklumat balas daripada sejumlah 3,097 penghidap Covid berpanjangan yang berkongsi pengalaman mereka di tempat kerja.

Menurut laporan itu, satu daripada tujuh responden dalam kaji selidik itu atau 14 peratus, berkata mereka hilang pekerjaan disebabkan gejala Covid berpanjangan.

Dua pertiga atau 66 peratus berkata mereka pernah mengalami satu atau lebih layanan tidak adil di tempat kerja, menurut laporan itu.

Selain itu, separuh daripada responden atau 49 peratus percaya mereka dijangkiti Covid-19 di tempat kerja.

Menurut laporan itu, layanan tidak adil di tempat kerja termasuklah gangguan tindakan tatatertib kerana tidak percaya tentang gejala yang mereka alami, lapor Xinhua.

“Pekerja dengan Covid yang berpanjangan dilayan dengan teruk walaupun kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja utama yang membantu menangani wabak itu, namun akhirnya dipaksa berhenti,” kata Setiausaha Agung TUC Paul Nowak.

Orang yang menghidap Covid yang berpanjangan mengalami pelbagai simptom termasuk kesukaran bernafas, keletihan kronik dan disfungsi kognitif, selama berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun.

Lebih separuh daripada responden melaporkan simptom berkaitan kesakitan termasuk sakit otot, sakit kepala, sakit sendi dan sakit dada, menurut laporan itu.

Tempoh masa biasa kesakitan yang dialami responden adalah melebihi 24 bulan (29 peratus daripada responden), diikuti tujuh hingga 12 bulan (23 peratus) manakala 60 peratus responden menyatakan mereka mengalami gejala itu lebih setahun.

Responden juga menyatakan kekecewaan mereka terhadap majikan yang tidak memahami gejala itu yang berterusan dan turun naik.

Selain itu, separuh daripada penghidap Covid-19 berkata mereka percaya dijangkiti Covid-19 di tempat kerja.

Data terbaharu dari 2 Januari 2023 Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) di UK menunjukkan 2 juta orang di negara itu mengalami Covid berpanjangan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image