KANGAR: Dua rumah jenis separuh kekal hangus dijilat api dan sebuah rumah lagi terbakar kira-kira 30 peratus menyebabkan 21 penghuni hilang tempat tinggal dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar menerima maklumat mengenai kejadian kebakaran tersebut pada 8.21 malam tadi.

“Sebaik menerima maklumat, polis telah ke lokasi kejadian dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar berjaya memadamkan api pada 9.41 malam dan tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya sebuah pusat pemindahan sementara telah dibuka di Dewan Felcra Lubuk Sireh pada 10.30 malam bagi menempatkan 21 mangsa terdiri daripada empat keluarga.

Mohd Shokri berkata seorang lelaki dewasa telah dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar kerana mengalami alahan dan sesak nafas, namun dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian belum diketahui dan masih dalam siasatan pihak Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut agar menghubungi talian 04-9492222 atau 04-9491481,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image