KOTA KINABALU: Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan sebanyak 8,581 Kad Pendaftaran Nelayan sehingga November tahun ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri Datuk James Ratib berkata dengan adanya kad tersebut, nelayan layak memohon bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan dan subsidi minyak bagi membantu meringankan beban golongan itu.

“Para nelayan tradisi juga diberi latihan dan pelbagai insentif untuk memantapkan pengetahuan serta kecekapan dalam aktiviti penangkapan ikan.

“Pembangunan industri hiliran di semua daerah turut dipergiat bagi membantu pengusaha produk berasaskan perikanan,” katanya menjawab soalan lisan Assaffal P. Alian (Warisan-Tungku) mengenai rancangan kerajaan bagi memperkasa aktiviti nelayan kecil dan tradisi.

James berkata kementeriannya melalui jabatan berkenaan telah mewujudkan program pelesenan alat perikanan di negeri itu, dengan sejumlah 5,824 lesen perikanan dikeluarkan di seluruh negeri setakat Ogos lepas.

Selain itu, James berkata ukuran panjang bot yang dibenar untuk dilesenkan juga dinaikkan daripada 11 meter kepada 15 meter serta berenjin tidak melebihi 200 kuasa kuda, sekali gus akan memberi peluang kepada para nelayan tradisi untuk memungut hasil laut lebih banyak.

Sementara itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Andy Muhammad Suryady Bandy berkata kementeriannya telah membelanjakan kira-kira RM2 juta hingga RM3 juta setahun untuk melatih belia menerusi program pembangunan industri tempatan dalam usaha menangani isu pengangguran di negeri itu.

“Bagi memastikan golongan belia dapat dibantu untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan, tahun ini kerajaaan Sabah menyediakan Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) berjumlah RM10 juta. Ramai golongan belia memohon skim ini dan menerima bantuan tanpa membayar balik kepada kerajaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) yang ingin tahu usaha serta jumlah peruntukan dibelanjakan bagi memudahkan penyertaan belia dalam pembangunan industri tempatan untuk menangani isu pengangguran di Sabah.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Sabah Datuk Flovia Ng berkata terdapat 40 Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) diwujudkan sehingga kini dengan sekurang-kurangnya satu PPDK di setiap daerah bagi memberi perkhidmatan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kerajaan Sabah menyediakan RM200,000 dalam Belanjawan 2023 melalui inisiatif kementerian untuk PPDK di seluruh negeri iaitu RM5,000 setiap PPDK bagi meringankan kos mengurus OKU ke arah kesejahteraan rakyat,” katanya menambah seramai 2,313 OKU berdaftar di PPDK seluruh negeri setakat 25 Nov lepas.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Amisah Yassin (Adun Dilantik) yang ingin mengenai rancangan kementerian untuk mendirikan fasiliti khas bagi kanak-kanak istimewa khususnya di kawasan luar bandar.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image