IPOH: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan yang dilakukan di Sunway City di sini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan tiga lelaki berusia lingkungan 35 hingga 45 tahun yang berada di dalam kereta di hadapan sebuah rumah pada 1 pagi semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan pihaknya berjaya menemukan dadah jenis methamphethamine dengan anggaran seberat 10.1 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM713,300.

“Tindakan susulan telah dilakukan dengan menahan tiga lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 26 hingga 48 tahun di rumah tersebut,“ katanya pada sidang media di IPK Perak di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata ujian air kencing yang dijalankan mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphethamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Menurutnya dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di sekitar kawasan Ipoh dan boleh digunakan bagi kira-kira 20,000 orang penagih dadah.

Kesemua ditahan sehingga Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori, katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image