KUALA LUMPUR: Eksport barangan halal pada 2021 meningkat 19 peratus kepada RM36.30 bilion berbanding RM30.50 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong (gambar).

Beliau berkata Malaysia merupakan antara pengeluar utama barangan halal di pasaran antarabangsa.

“Industi halal dijangka terus berkembang di rantau Asia Pasifik susulan daripada ratifikasi Malaysia ke atas perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 18 Mac, 2022,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-18, di sini hari ini.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia yang merangkumi 15 negara dengan jumlah populasi melebihi 2.3 bilion atau sekitar satu pertiga daripada jumlah populasi dunia, katanya.

Lim berkata syarat perlu memiliki Sijil Tempasal untuk menikmati keistimewaan RCEP, seterusnya menarik bukan sahaja perdagangan, malah pelaburan di negara-negara anggota.

“Keahlian negara-negara besar serta negara maju dalam RCEP iaitu China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand serta ASEAN, menyediakan peluang keemasan dalam mempelbagaikan potensi halal,” katanya.-Bernama