JOHOR BAHRU: Bekas penyerang Argentina Esteban Solari (gambar) dilantik sebagai ketua jurulatih kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam usaha memantapkan lagi pasukan senior, musim hadapan.

Mengumumkan perkara itu, pemilik kelab JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah Solari yang kini pembantu jurulatih pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Argentina bersetuju untuk bersama-sama dengan JDT.

“Saya secara peribadi mengagumi dan telah mengenali beliau beberapa tahun. Beliau kini berada dalam skuad B-23 Tahun Argentina bersama Javier Mascherano.

“Beliau juga menerima tawaran daripada beberapa kelab seperti River Plate dan skuad remaja Argentina. Saya berjaya meyakinkan beliau untuk bersama kami bagi meneruskan projek pembangunan kelab JDT,” titah baginda dalam satu wawancara yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers, Rabu.

Tunku Ismail bertitah Hector Bidoglio pula akan dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal JDT, menggantikan Alistair Edwards yang kini menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab berkenaan.

Antara strategi bagi menghadapi saingan musim hadapan, Tunku Ismail bertitah kelab itu juga akan membawa masuk tiga pemain import dalam usaha untuk memantapkan lagi barisan hadapan pasukan tersebut.

Baginda bertitah perbincangan untuk membawa masuk seorang penyerang Brazil dan dua pemain Sepanyol kini sudah mencapai 80 peratus.

“Kami akan mendapatkan satu pemain tengah dari Sepanyol untuk ‘back up’ Leandro Velasquez.

“Kami juga akan mendapatkan khidmat pemain pertahanan kiri, juga dari Sepanyol, yang boleh bermain di beberapa posisi seperti sayap kiri, sayap kanan ataupun penyerang. Pada masa yang sama, seorang lagi penyerang dari Brazil,” titah Tunku Ismail.

Jelas Tunku Ismail, selain mendapatkan khidmat pemain import berkenaan, pihaknya juga akan mendapatkan seorang pemain tempatan selain menyenaraikan beberapa pemain muda yang dinaikkan pangkat daripada pasukan JDT II.

“Kita akan masukkan tiga atau empat pemain yang bermain di JDT II tahun ini ke pasukan utama JDT pada musim hadapan,” titah baginda.

Tunku Ismail menjelaskan keutamaan JDT adalah untuk menilai seberapa jauh pasukan itu boleh mara dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selain mengetengahkan pemain muda dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).-Bernama