KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) berharap Malaysia akan menyertai 36 negara EU dan ASEAN yang lain meratifikasi Perjanjian Trafik Udara Komprehensif ASEAN-EU (AE CATA), perjanjian pengangkutan udara blok ke blok pertama di dunia.

AE CATA bermatlamat untuk meningkatkan kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi dalam kalangan negara anggota dua blok serantau.

Malaysia menandatangani Perjanjian itu pada 17 Okt tahun lepas namun belum lagi menyertai negara anggota ASEAN dan EU yang lain meratifikasikannya.

Perjanjian itu memperuntukkan bahawa Malaysia boleh menyertai ratifikasi apabila ia sudah bersedia untuk berbuat demikian.

Duta EU ke Malaysia Michalis Rokas berkata pintu terbuka untuk Malaysia ‘menyertainya’ dan ia wajar mempertimbang semula peluang besar melangkaui sambungan udara yang lebih baik dan hubungan yang akan dibawa oleh perjanjian itu kepada para penandatangannya.

Beliau berkata menerusi beribu-ribu syarikat Eropah yang kini beroperasi di Malaysia dan 40 peratus barangan EU melalui perairan antarabangsa Malaysia, negara itu merupakan pintu masuk penting EU ke pasaran ASEAN dan bersedia untuk memperoleh manfaat daripada perjanjian itu.

Kedudukan Malaysia yang strategik di rantau Asia Tenggara merupakan pusat aktiviti perindustrian aeronautik yang penting Airbus dan menjadi lokasi operasi beberapa syarikat Eropah terbesar termasuk Ericsson, Nokia, Siemens, B. Braun, BASF, Leonardo, AT&S, Volvo dan banyak lagi.

“Semoga Malaysia menandatangani ratifikasi itu dan meraih manfaat daripada perjanjian itu. Kita tidak mengecualikan Malaysia, sebaliknya kita mahu Malaysia sertai secepat mungkin,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ditandatangani di Bali, Indonesia oleh semua 27 negara anggota EU dan 10 anggota ASEAN, AE CATA menyediakan asas untuk kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua kawasan blok seperti keselamatan penerbangan, pengurusan trafik udara, perlindungan pengguna, alam sekitar serta sosial.

Perjanjian baharu itu juga menggantikan semua perjanjian penerbangan dua hala Negara Anggota EU dengan sepuluh negara anggota ASEAN dan menyediakan rangka kerja tunggal moden untuk perkhidmatan udara antara EU dan ASEAN.

EU adalah antara rakan dagangan terbesar Malaysia selepas Singapura, China dan Amerika Syarikat. Jumlah perdagangan dua hala pada 2022 melebihi RM216 bilion, dengan Malaysia menikmati lebihan dagangan yang besar dengan EU.

Sebahagian besar barang dagangan adalah elektrik dan elektronik serta mesin dan peralatan.

EU juga merupakan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dan produk berasaskan sawit selepas India dan China. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image