KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Getah Malaysia (MRC), sebuah agensi di bawah kementerian yang bertanggungjawab untuk mempromosikan getah dan produk getah berkualiti Malaysia.

Semasa lawatan itu beliau diperkenalkan dengan struktur serta fungsi MRC dalam melaksanakan mandatnya selaku agensi pelaksana yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri getah negara khususnya dalam hal berkaitan pemasaran produk getah berkualiti dan mampan, kata MRC.

Beliau juga diberikan taklimat mengenai usaha, inisiatif dan perancangan terkini MRC sebagai sebahagian daripada siri lawatan untuk mengenali lebih dekat kesemua agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi selaras dengan usaha MRC untuk terus membantu industri getah mengenal pasti peluang seterusnya bagi meningkatkan akses kepada pasaran getah khasnya dalam promosi dan pembangunan pasaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata Timbalan Perdana Menteri turut berkesempatan melawat galeri MRC yang memaparkan informasi berkaitan produk getah Malaysia dan juga kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh MRC dalam industri getah khasnya.

Fadillah diiringi oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Datuk Mat Zaidi Mohd Karli dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Abdul Hadi Omar.

Mereka disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRC Nor Hizwan Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Izwan Zarik Sapari dan ahli pengurusan MRC yang lain.-Bernama