KUALA LUMPUR: Kapten pasukan negara Mohamad Faisal Abdul Halim memuji persembahan cemerlang rakan sepasukan yang rata-ratanya pemain baharu ketika Malaysia menewaskan Kemboja 4-0 pada perlawanan antarabangsa Tier 1, semalam.

Pemain sayap sensasi skuad Harimau Malaya yang meledak dua gol pada pertembungan di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu mengakui berasa gembira dengan semangat juang dipamerkan rakan sepasukan berbanding dua jaringan bergayanya.

“Saya tak perlu berbangga dengan dua jaringan itu, yang saya bangga sekarang pemain-pemain tak pernah beraksi dalam skuad Harimau Malaya, pada malam ini semua dapat berikan komitmen baik, saya sangat terkejut.

“...dan jurulatih Kim (Kim Pan Gon) jalankan tanggungjawab yang sukar sebenarnya apabila panggil kebanyakan pemain tidak pernah bersama sebelum ini tetapi mereka (pemain) buktikan layak (ada) dalam skuad, itu saya bangga,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Selain meledak dua gol, pemain Terengganu FC berusia 24 tahun itu turut membantu pemain naturalisasi Lee Tuck menjaringkan gol pertamanya pada penampilan sulung bersama pasukan negara sebelum Stuart Wilkin turut mengikuti jejak sama dengan jaringan pada penghujung aksi.

Tuck, 34, yang juga penyerang pasukan Sri Pahang FC menyifatkan kemenangan ke atas Kemboja sebagai permulaan baik buat dirinya dalam skuad kebangsaan.

“Ia agak sukar kerana saya tidak beraksi selama 11 bulan dalam perlawanan bola sepak. Saya cuma bermain 90 minit dalam Piala Malaysia (pusingan 16). Jadi, ia satu cabaran sukar untuk sedia dari segi mental dan fizikal bagi mendapatkan kecergasan tapi saya sudah lakukan yang terbaik untuk mempersiapkan badan dan minda saya,” katanya.

Sementara itu, Wilkin berkata kejayaan diraih malam tadi adalah petanda positif dalam usaha pemain memenuhi tuntutan Pan Gon menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 pada 20 Dis hingga 16 Jan depan.

Pemain tengah Sabah FC berusia 24 tahun itu turut melahirkan rasa gembira kerana menjaringkan gol pertamanya di peringkat antarabangsa sekali gus menyumbang kepada kejayaan skuad negara.

“Sungguh menakjubkan, ia bagai mimpi dapat menjaringkan gol dalam penampilan pertama. Saya sangat bangga dapat mewakili negara dan bermain dalam perlawanan ini, saya harap terus dapat peluang lagi,” kata pemain kelahiran England itu.

Skuad kebangsaan akan menghadapi satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Maldives di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu sebelum memulakan kempen Piala AFF menentang Myanmar di Yangon, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B pada 21 Dis ini.

Malaysia dijadual berdepan Laos di Bukit Jalil pada 24 Dis, diikuti Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan) dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image