KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menerima sumbangan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) daripada Felcra Berhad untuk 10,000 orang pesertanya menerusi inisiatif SPS Tani di bawah Program SPS Padanan Caruman FELCRA.

SPS Padanan Caruman adalah inisiatif geran padanan kerajaan yang diperkenalkan dalam Bajet 2022 bertujuan untuk menggalak dan meringankan beban golongan bekerja sendiri untuk mendapat perlindungan sosial daripada Perkeso.

“Di bawah inisiatif ini, kerajaan membiayai 80 peratus daripada caruman Pelan 2 SKSPS manakala pencarum bekerja sendiri hanya perlu membayar 20 peratus iaitu RM46.60 sahaja daripada jumlah penuh caruman (RM232.80),“ menurut kenyataan bersama Perkeso dan FELCRA Berhad hari ini.

Tajaan caruman SKSPS di bawah SPS Tani oleh FELCRA Berhad direalisasikan melalui projek TANGO iaitu satu platform yang mengumpulkan usahawan dan golongan bekerja sendiri termasuk pekerja gig secara dalam talian untuk menarik golongan ini di seluruh negara supaya menyertai perlindungan SKSPS.

SKSPS menyediakan perlindungan kepada orang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa melakukan aktiviti berkaitan pekerjaan antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal dan Elaun Layanan Sentiasa.

Perlindungan lain di bawah SKSPS ialah Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Kemudahan Pinjaman Pendidikan.

Sementara itu, Perkeso berharap agensi lain akan mencontohi keprihatinan FELCRA dalam aspek kebajikan dan perlindungan peserta mereka agar lebih ramai orang bekerja sendiri dilindungi Perkeso menerusi SKSPS.

“Skim ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada individu bekerja sendiri tetapi juga tanggungan mereka sekiranya berlaku kematian berkaitan pekerjaan,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini hampir 711,000 pencarum aktif berdaftar di bawah SKSPS daripada kira- kira 2.8 juta orang yang bekerja sendiri di seluruh negara. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image