MANILA: Lima anggota penyelamat dilaporkan maut selepas Taufan Noru melanda wilayah Bulacan dan Manila, mencetuskan kejadian banjir dan memaksa ramai berpindah.

Gabenor wilayah Bulacan, Daniel Fernando berkata lima anggota penyelamat maut ketika membantu penduduk yang terperangkap akibat banjir, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Noru melanda kawasan pantai di bandar Burdeos, wilayah Quezon petang Ahad, sebelum melemah.

Seramai 74,000 orang berjaya dipindahkan.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos mengarahkan penutupan sekolah, sektor kerajaan dan pasaran saham sehingga Isnin.

Beliau juga merayu bantuan dan keperluan segera disalurkan ke kawasan paling terjejas teruk.

Noru ialah taufan paling kuat melanda negara itu tahun ini, dengan kelajuan antara 195kilometer sejam (km/j) hingga 240km/j pada Ahad.

Taufan itu juga dilaporkan bergerak ke barat Timur Laut dengan kelajuan 30 km/j pada Isnin.

Pada Rabu (28 Sept), Noru dijangka mendarat di wilayah tengah Vietnam.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image