KUALA LUMPUR: Hampir 800,000 cubaan serangan siber dicatatkan dari 2017 hingga 2021 berdasarkan statistik Cyber Security Malaysia (CSM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (gambar) berkata cubaan serangan siber semakin berleluasa di negara ini dan ia merupakan situasi yang membimbangkan kerana melibatkan kerugian kepada negara.

“Manakala pada Januari dan Februari tahun ini, setiap bulan berkenaan kita terima lebih 1,700 kes aduan panggilan scammer dan menurut Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ia melibatkan kerugian RM27 juta.

“Oleh sebab itu, kita nampak satu peningkatan peruntukan kepada CSM ini daripada RM9 juta pada 2022 kepada RM23 juta tahun ini dan RM10 juta kepada NSRC,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Teo berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memohon lebih banyak peruntukan diberikan bagi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) sebagai usaha kerajaan menarik pelabur dalam menjalankan aktiviti perfileman di negara ini.

Beliau berkata ini kerana peruntukan yang disediakan tahun ini lebih rendah iaitu sebanyak RM25 juta berbanding bayaran komitmen pada tahun ini iaitu berjumlah RM75.5 juta merangkumi 39 projek.

Sementara itu, Teo menegaskan KKD tidak terlibat dengan penutupan siaran langsung perbahasan Tan Sri Shahidan Kassim (PN-Arau) di aplikasi TikTok semalam.

Teo menyifatkan kenyataan Shahidan berkenaan perkara itu adalah tidak bertanggungjawab.

“KKD tidak terlibat...TikTok bukan syarikat yang ditubuhkan di Malaysia atau di bawah KKD dan ia tak akan dengar arahan KKD begitu sahaja,” katanya.

Shahidan kemudian bangun menjelaskan beliau tidak menuduh sebaliknya sekadar meminta penjelasan daripada kementerian itu.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM991.4 juta bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image