Hari Sukan Negara 2022 tetap berlangsung seperti biasa: Ahmad Faizal

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Sukan Negara 2022 (HSN2022) di seluruh negara tetap berlangsung seperti biasa pada Sabtu ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (gambar).

Beliau berkata di sebalik desas-desus pembubaran Parlimen akan dilakukan dalam masa terdekat, acara tahunan itu dijadual dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya.

“Saya ingin tegaskan bahawa setakat ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak ada hasrat atau fikirkan langsung untuk menangguhkan HSN yang akan disambut pada 8 Okt ini. Semua negeri juga akan anjurkan HSN pada hari yang sama.

“Ada usaha ditularkan mengenai KBS akan tangguh HSN adalah tidak benar. Pada kami, sukan adalah alat perpaduan dan mesti diteruskan, di waktu kita terlalu berpolemik dengan politik saya harap HSN akan satu padukan rakyat,“ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 (EISKL 2022) di Bukit Jalil hari ini.

KBS sebelum ini dalam satu kenyataan memaklumkan antara program pengisian HSN2022 adalah Putrajaya Night Marathon HSN2022, Karnival Sukan Air, Karnival Sukan Mendaki Kebangsaan, Kejohanan e-sukan, Let’s Get Fit, M-Games dan Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur.

HSN2022 turut melibatkan kerjasama strategik dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan penglibatan rakyat Malaysia di semua peringkat.

HSN2021 disambut di seluruh negara secara hibrid susulan pandemik Covid-19 manakala HSN2020 terpaksa dibatalkan ekoran pandemik tersebut.

Edisi pertama HSN pada 2015 yang menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak dalam Satu Hari dengan sejumlah 17,648 aktiviti sukan, berjaya menarik penyertaan keseluruhan seramai lebih lima juta orang.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image