MUKAH: Pengalaman luas dalam bidang kemasyarakatan, belia, sukan dan pendidikan menjadi sandaran Royston Valentine, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tellian untuk membawa pembangunan di kawasan itu yang disifatkannya sebagai jantung Bahagian Mukah.

Berusia 35 tahun, anak jati Kampung Petanak di sini yang lebih dikenali sebagai Roy itu yakin dengan kemampuan dirinya untuk merasai denyut nadi dan keperluan rakyat, sekali gus membawa perubahan di kawasan itu.

“Mungkin orang anggap saya masih belum matang, tapi dalam satu tempoh yang singkat saya telah banyak kumpul pengalaman dan tidak menjadi masalah untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat di sini,” katanya yang berdepan persaingan empat penjuru memlibatkan pertembungan antara belia dan veteran di kawasan itu.

Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB itu akan dicabar Ketua Cabang PKR Mukah Mohd Arwin Lim Abdullah, 34; Zainuddin Budug, 56, daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Sait Junaidi, 57, mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Selain meneruskan agenda pembangunan sedia ada, Royston yang pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Parish, Balingian, berkata aspek pendidikan adalah antara tumpuannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, sesuai dengan kewujudan banyak institusi pengajian tinggi (IPT) di kawasan Tellian.

Pemimpin muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan daripada Open Universiti Malaysia, Sibu itu berkata: “Kalau kita nak bentuk satu komuniti yang tidak ketinggalan daripada arus pembangunan kita perlu menitikberatkan pendidikan dan saya akan cuba pastikan agar anak muda dan belia di kawasan ini tidak tercicir daripada melanjutkan pelajaran.

“Jauh di sudut hati memang saya mahu melihat anak muda dan belia di kawasan ini untuk lebih maju dan berada di hadapan dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan, ya ‘hati saya keras’ untuk itu,” katanya sambil mengajuk dialog popular dalam filem ‘Gila-gila Remaja’ yang ditayangkan pada 1985 itu.

Menyifatkan bahawa Dun Tellian adalah jantung Mukah berikutan kedudukannya yang terletak di tengah-tengah bahagian itu dan dilengkapi kemudahan lapangan terbang, IPT dan sekolah, beliau berkata aspek sosioekonomi akan menjadi tumpuan memandangkan impak pandemik Covid-19 yang masih dirasai, turut menjejaskan usahawan dan peniaga kecil di kawasan itu.

Seiring dengan perkembangan dan penggunaan teknologi, beliau berkata kemudahan internet bagi memudahkan orang ramai untuk menjalankan kegiatan e-dagang dan pembelajaran juga akan menjadi fokus utamanya.

Royston, yang sudah mendirikan rumah tangga, merupakan antara pengasas Pusat Kegiatan Mukah dan bergerak aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sejak 2007 selain pernah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Belia Negeri Sarawak pada 2017 oleh Kementerian Pelancongan Kesenian Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak.

Beliau juga merangkul Anugerah Perdana Belia Negara peringkat ngeri Sarawak oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada 2018, dan baru-baru ini dilantik memegang jawatan naib presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) atas penglibatannya dalam pasukan Mukah FA (MuFA) sebagai pengurus pasukan.

Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi tahun 2014 hingga 2016 itu berkata keupayaan GPS mentadbir kerajaan selama ini mampu menjadi batu loncatan untuk beliau yakin mempertahankan kerusi berkenaan yang disifatkannya kubu kuat bagi parti berkenaan.

“Selain kempen menerusi media sosial, saya akan cuba mendekati pengundi secara bersemuka dalam kumpulan kecil mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, ia tidak menjadi masalah kerana ada juga kawasan di Dun ini yang tidak memiliki rangkaian telefon,” katanya.

Dun Tellian, yang mempunyai 10,059 pemilih berdaftar, adalah satu daripada 11 kerusi baharu pada pilihan raya lepas susulan persempadanan semula, dengan kira-kira 60 rumah panjang dan 33 buah kampung berada di bawah Dun itu.

Pada PRN11 2016, kerusi Tellian, yang 50 peratus penduduknya berbangsa Melanau, 29 peratus (Iban) dan selebihnya Cina, telah dimenangi Yussibnosh Balo atas tiket Barisan Nasional-PBB dengan majoriti 4,421 undi mengalahkan Asini @Hasni Yahya daripada PKR yang hanya memperoleh 666 undi. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image