PORT DICKSON: Berikutan peningkatan ketara kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negara ini, Hospital UCSI di sini mengambil inisiatif menyediakan wad khusus bagi merawat pesakit wabak berkenaan.

Pengarah Perubatan dan Pakar Kanak-kanak Hospital UCSI Prof Dr Amaluddin Ahmad berkata wad 3A yang mula beroperasi sejak Jumaat lepas itu berupaya menampung peningkatan jumlah pesakit HFMD terutama dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini dan negeri sekitar.

“Ia dilengkapi dengan 20 katil selain menempatkan 20 pesakit pada satu-satu masa dengan 11 kakitangan termasuk doktor pakar merawat penyakit kanak-kanak ditempatkan di wad ini selain caj dikenakan serendah RM200 hingga tidak melebihi RM5,000 bergantung kepada keseriusan penyakit.

“Kebanyakan kes dirawat mempunyai gejala ringan dan kami memantau dari segi rawatan demam, dehidrasi, nutrisi, rawatan bagi menghilangkan panas badan dan pecah mulut. Pada masa sama kami juga memantau sekiranya mereka mempunyai gejala pada organ lain seperti paru-paru dan jantung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan baru-baru ini dilaporkan berkata Negeri Sembilan merekodkan 2,249 kes HFMD dari tempoh Januari hingga 19 Mei lepas iaitu peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam pada itu, Dr Amaluddin berkata kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan bayi hingga kanak-kanak berusia 12 tahun namun terdapat kes dilaporkan berlaku kepada mereka yang melebihi usia itu.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing dan tidak menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan jika mengalami gejala HFMD seperti demam, ulser di mulut, lepuh di tangan atau kaki.

Beliau berkata Hospital UCSI turut menjalankan kempen mencegah HFMD termasuk di sosial media, webinar dan tadika di sekitar daerah itu bagi memupuk kesedaran berterusan masyarakat mengenai penyakit itu.

Sebarang pertanyaan atau khidmat nasihat mengenai HFMD, orang awam boleh menghubungi talian 06-6488888 atau terus ke hospital berkenaan, katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image