Ia kesilapan yang tidak disengajakan: Rewcastle-Brown

KUALA LUMPUR: Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown(gambar) yang disaman oleh Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The Inside 1MDB Expose’, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan di pihaknya ketika menulis petikan dalam buku itu pada tahun 2018.

Editor berusia 63 tahun yang memberi keterangan melalui persidangan video dari London itu berkata petikan itu adalah berdasarkan ingatannya mengenai laporan berita yang dibaca pada tahun 2010, yang merujuk kepada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang menyebut bagaimana dia (Jho) mengenali Sultan Terengganu.

“Ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan ​​di pihak saya, yang saya percaya adalah benar semasa saya menulisnya. Tidak ada niat jahat dalam penulisan saya. Saya tidak mengenali plaintif (Sultanah Nur Zahirah) secara peribadi, dan tulisan saya tidak menunjukkan sebarang penyelewengan olehnya. Saya tidak mempunyai sebab untuk memfitnahnya dan saya pastinya tidak berniat untuk menjejaskan reputasi atau merendahkan maruahnya menerusi penulisan itu.

“Buku setebal lebih 500 muka surat itu pasti mengandungi satu atau dua perkara yang tidak tepat. Bagaimanapun saya cukup teliti dengan penyelidikan saya, terutamanya apabila membuat sebarang dakwaan mengenai ketidakwajaran.

“Dalam perkara berhubung Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), yang sebenarnya memperkenalkan Jho Low kepada Sultan bagaimanapun tidak penting, kerana tidak ada penyelewengan atau rasuah dalam perbuatan itu, atau daripada berkenalan dengan Jho Low,” katanya dalam kenyataan saksi.

Semasa menjelaskan mengenai apa yang diketahuinya mengenai Jho Low berhubung penubuhan TIA, beliau berkata daripada penyelidikannya, beliau mendapat tahu Jho Low mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Terengganu, yang membawa kepada penubuhan TIA, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ini sekali lagi, adalah pengetahuan umum. Sebelum skandal 1MDB melonjak menjadi perhatian ramai di Malaysia pada 2015, Jho Low sendiri mengumumkan secara terbuka sejak 2010 mengenai penglibatannya dalam penubuhan TIA, melalui Sultan Terengganu. Ini dapat dilihat, misalnya menerusi temu bual Jho Low oleh media The Star, yang diterbitkan pada 30 Julai 2010,” katanya.

Beliau seterusnya berkata Jho Low yang mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Terengganu, tidak dapat dipertikaikan telah menjadi pengetahuan umum, kerana beliau mesra dengan ahli keluarga itu pada 2009, dan diperkenalkan kepada Sultan Terengganu, adalah fakta yang diperakui Jho Low sendiri secara terbuka, tanpa kontroversi.

“Atas kesilapan yang tidak disengajakan ​​ini saya telah memohon maaf, tetapi saya tidak boleh menerima salah tafsiran plaintif (Sultanah Nur Zahirah) terhadap petikan itu,” katanya.

Katanya beliau menulis buku itu kerana ia adalah penting untuk orang ramai mengetahui secara menyeluruh, bagaimana penyelewengan besar-besaran dana kekayaan negara 1MDB berlaku.

“Apabila orang awam biasa mempunyai akses kepada butiran dan maklumat sedemikian, perdebatan awam dan wacana politik mengenai isu sedemikian menjadi lebih bermakna. Petikan itu memberikan naratif sejarah penting tentang bagaimana 1MDB berasal , bermula sebagai dana negeri Terengganu TIA, dan personaliti yang terlibat, sebelum ia dikawal oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perbicaraan yang bermula Isnin lepas berakhir hari ini selepas lima saksi terdiri daripada tiga saksi plaintif dan dua defendan selesai memberi keterangan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee menetapkan 20 Sept untuk mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman itu pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan petikan itu antara lain bermakna beliau terlibat dalam rasuah dan campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan Terengganu dan bermakna beliau telah membantu Jho Low menjadi penasihat TIA .-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image