KUALA LUMPUR: Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Feb setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser yang boleh hadir dalam pelbagai bentuk, kesan serta cara rawatan dan pemulihannya termasuk rawatan secara imunoterapi.

Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dalam kenyataan memaklumkan teknologi merawat kanser semakin bertambah baik dan maju dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan satu daripada teknologi baharu yang dikenal pasti berkesan dalam merawat kanser ialah rawatan imunoterapi yang telah berada di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, imunoterapi ialah satu rawatan yang unik kerana menggunakan sistem imun badan untuk melawan kanser.

Pakar Perunding Onkologi daripada SMCV Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata sistem imun adalah seperti sepasukan polis di dalam tubuh, ia direka untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan dan penyakit.

“Sistem imun juga boleh melindungi tubuh manusia daripada pembentukan kanser. Kebiasaannya, ia dapat mengesan dan menghapuskan sel yang rosak atau sel yang bermutasi dalam badan lalu menghapuskannya sebelum ia menjadi ancaman ketara,” katanya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, kanser masih boleh berlaku apabila sistem imun tidak cukup kuat untuk membunuh sel kanser atau apabila sel kanser bersembunyi daripada sistem imun (sel kanser berupaya untuk menyerupai sel normal yang lain).

Menurut Dr Hafizah, imunoterapi lebih disasarkan sebagai rawatan kanser.

“Imunoterapi menggunakan sistem imun untuk melawan kanser. Ia boleh meningkatkan atau mengubah cara sistem imun berfungsi supaya ia boleh mengenali dan membunuh sel-sel kanser,” katanya.

Sel kanser bermula daripada sel-sel normal, justeru sistem imun tidak selalunya dapat mengecam sel kanser sebagai ancaman.

“Sel kanser ini diibaratkan seperti menekan butang brek pada sel imun lalu menyebabkan sistem imun tidak dapat menyerangnya. Checkpoint inhibitors (sejenis imunoterapi) pula akan menurunkan semula brek ini daripada sistem imun dan membantu ia mengenali serta menyerang sel-sel kanser,” katanya.

Dr Hafizah berkata pelbagai ejen imunoterapi akan diberikan dalam bentuk infusi ke dalam vena (IV) dengan kekerapan sekali bagi setiap dua, tiga atau empat minggu dan boleh diberikan secara sendiri atau digabungkan dengan terapi sasaran atau kemoterapi.

Jelasnya, bagi tahap kanser yang lebih ketara, rawatan imunoterapi secara amnya akan dijalankan selama dua tahun berserta pemantauan rapi daripada doktor pakar.

Walaupun imunoterapi mungkin dilihat sebagai sinar harapan untuk pesakit kanser, Dr Hafizah menekankan bahawa tidak semua kanser akan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan imunoterapi.

Justeru, beliau berkata sebelum memulakan imunoterapi, pesakit perlu menjalani ujian biomarker tertentu seperti ujian PD-L1 yang perlu dilakukan terhadap spesimen kanser untuk memastikan pesakit akan mempunyai tindak balas terhadap rawatan.

Dr Hafizah berkata imunoterapi boleh digunakan sebagai rawatan untuk pelbagai jenis kanser termasuk kanser paru-paru bukan sel kecil, kanser payudara tiga kali ganda negatif, kanser kepala dan leher, kanser serviks, kanser gastrik, kanser esofagus, kanser pundi kencing, melanoma (sejenis kanser kulit), kanser hati, karsinoma sel renal, kanser endometrium dan kanser kolon.

Seperti mana-mana rawatan lain, beliau berkata imunoterapi juga memberikan kesan sampingan berbeza, secara amnya rawatan ini dapat diterima baik oleh pesakit dengan kemungkinan mendapat kesan sampingan seperti rasa letih, ruam kulit, sakit otot atau sendi.

“Walaupun jarang berlaku, sesetengah pesakit juga boleh menunjukkan reaksi alahan termasuk pening, jantung berdegup laju, muka bengkak atau masalah pernafasan. Pesakit juga perlu tahu jika mereka mengalami tindak balas autoimun yang boleh menyebabkan masalah serius pada paru-paru, usus, hati, kelenjar hormon, buah pinggang, kulit atau lain-lain.

“Antara simptom yang perlu diberi perhatian ialah cirit-birit, sakit perut yang teruk, batuk yang semakin teruk, sesak nafas atau kesukaran bernafas,“ kata Dr Hafizah.

Menjelaskan bahawa setiap pesakit mempunyai perjalanan tersendiri untuk bebas kanser, Dr Hafizah memberi jaminan bahawa penyelidikan kanser telah mendorong rawatan kanser ke era baharu yang dapat membawa kepada kadar kawalan kanser atau kadar penyembuhan yang lebih tinggi.

Beliau turut menyarankan orang ramai supaya mengambil insurans perubatan bagi menguruskan kos rawatan yang semakin meningkat dan setiap pesakit harus berunding dengan doktor untuk mencari pilihan rawatan terbaik apabila disahkan dengan diagnosis kanser. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image