NEW DELHI: Jumlah kematian akibat meminum arak tiruan di Bihar, di timur India meningkat kepada lapan, lapor Xinhua memetik All India Radio (AIR) pada Selasa.

“Di Bihar, lapan orang maut dan enam menjadi buta selepas meminum arak tiruan,“ kata AIR.

Korban pertama dilaporkan pada malam Ahad di Lakri Nabiganj daerah Siwan kira-kira 107 kilometer (km) barat laut Patna.

Menurut AIR, jumlah mangsa yang maut mungkin meningkat memandangkan 14 lagi mangsa dilaporkan kritikal.

“Tiga mangsa telah dihantar ke Gorakhpur dan 11 ke hospital Kolej Perubatan Patna,“ lapor AIR.

Ketua Pengarah Polis Bihar J.S. Gangwar berkata arak tiruan itu diperbuat daripada spirit yang dibawa dari Kolkata dengan alasan untuk membuat pensanitasi.

Gangwar berkata 16 orang telah ditahan setakat ini untuk membantu siasatan berhubung kes penjualan arak tiruan.

Sementara itu, dua pegawai digantung tugas berhubung perkara itu.

Bulan lalu lebih 90 orang terbunuh dan ramai lagi dimasukkan ke hospital berikutan meminum arak tiruan dengan majoriti kematian dilaporkan dari daerah Saran dekat dengan Siwan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image