KUALA LUMPUR: Industri penerbangan dan aeroangkasa tempatan berharap Bajet 2023 akan meliputi inisiatif dan dasar yang menggalakkan strategi mengutamakan teknologi bagi menyokong pemulihan pasca pandemik dan ekosistem industri pada masa depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aerodyne Group Kamarul A. Muhamed berkata, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk merangsang ekonomi digital, mengutamakan syarikat tempatan untuk menjalankan perniagaan akan membolehkan industri tersebut memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Kita memerlukan satu bajet yang menyokong ekosistem yang mesra dan kondusif kepada pertumbuhan industri teknologi, tidak semestinya terhadap penerbangan dan aeroangkasa sahaja, malah, untuk kesemuanya.

“Apa yang kita benar-benar perlu memberikan tumpuan adalah kemudahan dan fokus untuk membolehkan peserta teknologi berkembang. Jangan pandang rendah dengan ‘barangan buatan Malaysia’ kerana kita juga memiliki syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa dan berada di peringkat terbaik dunia,” katanya kepada Bernama.

Kamarul berkata bantuan dari segi geran lebih sesuai berbanding subsidi berikutan industri penerbangan dan aeorangkasa berintensifkan teknologi dan modal, sekali gus memerlukan saiz dana yang besar untuk berkembang.

Berbanding dengan negara-negara maju, beliau berkata kebanyakan syarikat teknologi menerima pelaburan langsung domestik yang tinggi agar penyelidikan dan pembangunan di negara itu mencapai tahap cemerlang dan setanding di peringkat global.

“Jika kita lihat di Korea Selatan dan Jepun, sebagai contoh, keutamaan (untuk pelaburan) diberikan kepada teknologi domestik. Inilah harapan saya, sekiranya kita boleh mempunyai dasar sedemikian di sini, ekonomi digital kita akan menjadi lebih cemerlang,” katanya.

Aerodyne berada di tangga teratas dalam kalangan penyedia perkhidmatan dron penderiaan jauh global terkemuka pada 2021 oleh Drone Industry Insights, sumber global utama mengenai data dron komersial.

Pendapat Kamarul senada dengan CEO Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) Ida Adora Asha’ari Ismail yang menyatakan insentif perlu disediakan kepada industri menerusi Bajet 2023.

Sebagai antara industri yang terjejas teruk akibat pandemik dan masih mengalami fasa pemulihan, dana yang berupaya memacu pertumbuhan industri penerbangan amat diperlukan, termasuk bagi pembangunan teknologi dan modal insan serta pelaburan dalam aset-aset baharu, katanya.

Ida Adora berharap bajet tersebut akan turut memberikan tumpuan terhadap pertumbuhan penerbangan am dan sukan penerbangan.

“Aktiviti penerbangan am dalam keadaan yang lembap sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan saya berharap kerajaan akan memperuntukkan dana untuk perkembangannya,” katanya.

SAS, penyedia perkhidmatan sewa dan pajak, carter penerbangan dan pesawat bakal membina lapangan terbang kecil (aerodrom) air yang pertama di Malaysia di Pulau Perhentian, Terengganu, yang akan menjadikannya sebagai pengendali aerodrom air pertama di negara ini.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image