Insentif bulanan sesuai dirangka untuk Muhammad Azeem: Exco Perak

PARIT: Kerajaan negeri Perak sedang menyiapkan satu kertas kerja berkaitan insentif bulanan bersesuaian untuk pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi(gambar).

Exco Sukan, Khairul Shahril Mohamed, berkata ketika ini atlet kelahiran Perak itu hanya menerima elaun bulanan berjumlah RM700 daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

“Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) ada mengutarakan pandangan mengenai elaun bulanan diterima Muhammad Azeem tidak begitu setimpal dengan pencapaian yang beliau kecapi.

“Sebagai permulaan, insentif ini kita akan berikan kepada Muhammad Azeem dan kita akan menyediakan insentif bulanan kepada atlet Perak yang lain kerana Perak juga mempunyai atlet Muay Thai dan boling remaja yang pernah memenangi kejohanan di peringkat antarabangsa,“ katanya.

Khairul Shahril berkata demikan kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan landas bot untuk nelayan darat bernilai RM38,250 yang disediakan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) di Lambor Kanan, Bota, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Shahril menyokong keputusan Muhammad Azeem yang menolak beberapa tawaran menjadi atlet profesional bagi memberi lebih tumpuan dalam bidang akademik.

“Saya secara peribadi amat menyokong keputusan yang dibuat Muhammad Azeem kerana kita (kerajaan negeri) sendiri menekankan sukan ini sebagai kerjaya dari segi pendidikan dan pekerjaan.

“Jadi, sebagai permulaan atlet kita perlu mempunyai persiapan khusus untuk menyiapkan diri mereka dalam bidang pendidikan,“ katanya.

Rabu lepas, Muhammad Azeem berkata beliau menerima tawaran untuk menjadi atlet profesional yang antaranya berpusat di Amerika Syarikat dan Eropah selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, baru-baru ini.

Atlet berusia 18 tahun itu berkata beliau menerima lebih 10 tawaran melanjutkan pengajian di universiti di Amerika Syarikat, antaranya. Universiti Georgia, Universiti Florida, Universiti Louisiana State dan Universiti Texas A&M selain turut menerima tawaran untuk mengembangkan kerjayanya dalam bidang olahraga daripada Universiti Houston serta Universiti Auburn.-Bernama