KOTA BHARU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor maut selepas kereta Proton Saga dipandunya terbabas di KM5 Jalan Palekbang-Tumpat berhampiran Wakaf King, Tumpat, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kejadian pada 11.30 malam itu menyebabkan Inspektor Chong Yeong Ren (gambar), 29, tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

“Mangsa ketika itu dari Wakaf Bharu menghala ke Tumpat untuk pulang ke rumahnya di Kampung Terbak. Kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas beberapa meter dan merempuh dua tiang lampu di sebelah kiri jalan hingga terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mendiang Chong mula berkhidmat dalam pasukan polis pada 3 Jun 2019 sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. Sepanjang berkhidmat, mendiang menunjukkan prestasi tugas yang amat membanggakan dan memberi komitmen terhadap tugas yang dijalankan.

“Polis Kelantan menzahirkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang yang meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia tiga bulan,“ katanya yang menambah pihaknya akan mengiringi jasad mendiang ke rumah keluarganya di Klang, Selangor. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image