KUALA LUMPUR: Demensia atau nyanyuk merupakan antara gejala yang sering ditemukan dalam kalangan warga emas. Antara punya nyanyuk ialah Alzheimer, iaitu penyakit yang disebabkan oleh neurodegeneratif atau penyusutan sel saraf otak atau ringkasnya penuaan sel otak.

Alzheimer boleh berlaku secara berperingkat atau progresif, dan individu yang menghidapi penyakit ini akan menunjukkan perubahan ketara dari segi keupayaan mental dan sosial. Antara penyumbang kepada penyakit Alzheimer ialah kecelaan kognitif ringan (MCI), status transisi yang mana penghidap mulai mengalami masalah lupa namun tidak serius sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Menurut Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia, yang membimbangkan ialah kajian menunjukkan kira-kira 45.2 peratus warga emas di Semenanjung Malaysia mengalami MCI.

“Ini bermaksud hampir lima daripada 10 warga emas mengalami masalah kecelaan kognitif ringan iaitu penurunan kecil keupayaan mental,” kata Timbalan Pengarah MyAgeing Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim kepada Bernama.

“Warga emas dengan kecelaan kognitif ringan mempunyai risiko lebih besar untuk menghidap penyakit Alzheimer, tetapi tidak semuanya akan berakhir dengan penyakit ini,” tambah beliau.

Bagaimanapun katanya MCI tidak mengganggu aktiviti kehidupan seharian individu yang mengalaminya dan boleh ditangani jika ada intervensi awal.

Menurut Dr Rahimah, masalah MCI lazimnya mudah disedari oleh penghidap dan juga orang di sekeliling, sekali gus membolehkan intervensi segera dilakukan.

Intervensi segera dan berterusan seperti pengurusan penyakit, perubahan gaya hidup dan pembelajaran sepanjang hayat dilihat dapat mencegah, atau setidak-tidaknya melewatkan penurunan fungsi kognitif dalam kalangan warga emas, jelasnya.

Menurut Dr Rahimah, kajian juga mendapati individu yang mempunyai pemahaman agama yang tinggi sukar mengalami neurodegeneratif.

Selain itu, MyAgeing turut mendapati jantina, usia, etnik, tahap pendidikan, status perkahwinan dan pendapatan isi rumah sering dikaitkan dengan fungsi kognitif warga emas.

Sementara itu, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2018 menganggarkan 10 peratus daripada populasi berumur 60 ke atas di negara ini disahkan menghidap demensia, dan berdasarkan rekod populasi pada 2020, 11 peratus atau 3.4 juta penduduk Malaysia merupakan warga emas.

Peningkatan warga emas saban tahun turut seiring dengan pertambahan kes Alzheimer, justeru kata Dr Rahimah, adalah amat penting bagi masyarakat memberikan sokongan berterusan kepada keluarga yang menjaga orang tua.

“Penjagaan (warga emas) ini sebenarnya pekerjaan sepenuh masa dan ramai ahli keluarga tidak bersedia untuk menjalankan peranan sebagai penjaga, malah sebahagian daripada mereka turut terkesan oleh implikasi kewangan.

“Oleh itu, beban orang pertengahan umur yang menyokong kedua ibu bapa dan anak mereka, atau dikenali sebagai generasi sandwic ini telah banyak dilaporkan dalam penyelidikan. Tanggungjawab penjagaan juga biasanya lebih banyak dipikul golongan wanita sehingga memaksa mereka melepaskan kenaikan pangkat atau berhenti bekerja untuk terus memberikan penjagaan kepada ahli keluarga mereka,” katanya.

Menurut Dr Rahimah, penjagaan yang berpanjangan juga memberikan kesan terhadap penjaga termasuk dari segi kesihatan dan kesejahteraan penjaga serta jaminan kewangan apabila mereka sendiri menjadi warga tua.

Selain itu, beliau berkata penjagaan warga emas yang mengalami masalah Alzheimer juga menuntut kefahaman masyarakat.

“Perlu kita faham, tatacara menguruskan pesakit Alzheimer tidak sama seperti menguruskan warga emas yang normal, apatah lagi penyakit ini tiada penawarnya. Ada yang menganggap mereka sudah nyanyuk, maka ramai yang mula menyisihkan warga emas ini sedangkan mereka memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

Sementara itu, pelatih di Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) Dr Nor Azlina Abu Bakar berkata pendidikan berterusan kepada masyarakat mengenai Alzheimer perlu diperhebat menerusi ceramah, penyediaan bahan bacaan dan aktiviti perkongsian di antara pesakit dan penjaga.

“Tanda-tanda awal penyakit ini hendaklah dihebahkan supaya diagnosis awal boleh dijalankan dan ini akan membantu pesakit merancang perjalanan kehidupannya dari segi rawatan perubatan, sosial, kewangan dan kekeluargaan. Kesedaran ini patut diperkenalkan di peringkat sekolah lagi.

“Pendidikan mengenai amalan cara hidup sihat termasuk menjaga pemakanan, tidak merokok, senaman konsisten dan mempelajari sesuatu yang baharu boleh merangsang minda. Mencegah masalah darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti juga dapat mengurangkan risiko untuk mendapat Alzheimer,“ jelasnya.

Dr Nor Azlina yang juga Pakar Perubatan Geriatrik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, turut berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap aktiviti advokasi berkaitan Alzheimer, khususnya dalam mendidik masyarakat berkenaan penyakit tersebut.

“Baru-baru ini ADFM melancarkan program ‘World Alzheimer's Month 2021’ bertemakan ‘A Journey Begins With Early Dementia Diagnosis’ untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit. Ini akan menggalakkan diagnosis awal yang membolehkan intervensi awal dan melambatkan neurodegeneratif.

“ADFM mengadakan siri ceramah secara maya melalui platform Zoom sepanjang bulan September. Selain itu, acara tahunan ‘Memory Walk’ juga akan dilakukan secara maya dengan sasaran mencapai 10 juta langkah bagi meningkatkan kesedaran mengenai Alzheimer, mengurangkan stigma mengenai penyakit ini dan mendorong semua lapisan masyarakat untuk terlibat dalam mengadakan komuniti yang mesra kepada pesakit.

“Turut diadakan aktiviti yoga bersama warga emas, bengkel seni ekspresif dan kelas tarian,“ katanya.

Dalam pada itu, Dr Nor Azlina berkata stigma atau diskriminasi terhadap penghidap Alzheimer berlaku kerana kurangnya pemahaman ahli masyarakat mengenai penyakit tersebut.

“Masalah yang timbul ialah sebilangan pesakit mendapati saudara atau rakan mereka kurang mengunjungi mereka dan ini menyebabkan berlaku pengasingan sosial. Ada juga yang mendapati keluarga mereka menjadi terlalu melindungi sehingga menyebabkan pesakit tidak dapat berdikari.

“Apatah lagi pesakit berasa sangat terkesan ketika pandemik kerana penjarakan sosial, menyebabkan gangguan hubungan sosial dan isolasi yang lebih mendalam. Ini menyebabkan kemerosoton fungsi kognitif dan kemurungan. Pesakit juga tidak mendapat rawatan sepatutnya kerana kebanyakan klinik dan terapi ditangguhkan,” jelasnya, menambah aktiviti fizikal seperti bersiar di taman juga antara terapi penting buat pesakit. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image