KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said(gambar) berkata masyarakat perlu dididik supaya berfikiran lebih logik susulan kontroversi minuman beralkohol tempatan jenama 'Timah’.

“Daripada dulu, kecil-kecil kita makan hotdog, coney dog, jadi macam mana? anak saya suka makan hotdog, takkan saya kata tak boleh makan...jadi saya rasa ini penting, kita kena didik masyarakat kita memikirkan secara lebih logik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah giliran Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol berkata sememangnya terdapat keperluan untuk melahirkan masyarakat yang matang, berhemah dan bertanggungjawab supaya tidak mengambil kesempatan atas apa sahaja isu untuk kepentingan dan keuntungan sesetengah pihak.

“Kita tidak mahu ia (isu salah tafsir nama produk) menjadi satu precedent (duluan) ...lepas ini (mungkin) berlaku pula (isu) root beer. Ini tidak akan ada kesudahan,” katanya.

Sementara itu, persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 yang bertujuan meminda Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) untuk menyusun semula dan memantapkan fungsinya supaya lebih komprehensif selari dengan peredaran masa.

Akta 730 digubal antaranya untuk mengadakan peruntukan bagi menggalakkan amalan perdagangan yang baik dengan melarang perihal palsu, pernyataan, pengendalian dan amalan palsu atau mengelirukan berhubungan dengan pembekalan barang-barang dan perkhidmatan.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image