Isu pemilikan rumah bekas pekerja estet selesai: Aminuddin

SEREMBAN: Isu pemilikan rumah bekas pekerja estet lebih 20 tahun selesai menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik di Ladang Kirby, Mukim Labu oleh pihak Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun(gambar)berkata projek itu dibina di atas tujuh lot tanah milik MBINS dengan keluasan 6.7 hektar (16.57 ekar) bakal siap sepenuhnya Februari 2024.

“Melalui projek pembangunan, kerajaan negeri telah menyelesaikan permasalahan tempat kediaman bagi 44 bekas pekerja estet Sime Darby Plantation yang telah berlanjutan selama lebih 20 tahun.

“Kerajaan Negeri turut bersetuju menawarkan setiap bekas pekerja estet tersebut pemilikan rumah jenis Type A secara pemilikan sendiri mahupun secara sewa beli dengan subsidi disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu di Taman Kirby di sini hari ini,

Katanya, projek tersebut terletak bersebelahan jalan utama Seremban-Labu dengan jarak lebih kurang 12 kilometer dari bandar Seremban dan lokasi pembangunan juga strategik serta berpenduduk, selain mempunyai kemudahan infrastuktur awam seperti sekolah, masjid, kuil, stesen komuter dan lain-lain.

Beliau berkata kediaman Type A adalah rumah teres setingkat dengan saiz 20 kaki x 60 kaki dengan keluasan binaan minimum sebanyak 850 kaki persegi untuk setiap unit yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Manakala kediaman Type C pula adalah binaan rumah jenis setingkat dengan saiz keluasan minimum 20 kaki x 70 kaki yang dilengkapi dengan empat bilik tidur dan tiga bilik air.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk menurunkan harga jualan seunit Rumah Mampu Milik Type A bersubsidi yang pada asalnya berharga RM45,000 kepada RM36,000 sahaja kepada 36 bekas pekerja estet setelah mengambil kira pekerja mempunyai pasangan suami atau isteri.

“Subsidi tambahan sewaan rumah sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 24 bulan atau sehingga projek RMM tersebut selesai diberikan bagi meringankan beban 13 keluarga bekas pekerja estet yang tidak mempunyai kediaman sementara untuk berpindah,” katanya.

Menurutnya, pembangunan Rumah Mampu Milik Ladang Kirby itu melibatkan 212 unit, terdiri daripada pembinaan 100 unit RMM Type A dengan harga jualan bermula pada RM80,000 dan 112 unit rumah Type C dengan harga jualan bermula RM370,000.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image