KAJANG: Jabatan Penjara sedang melaksanakan Reformasi Penjara yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan dan residivis (jenayah berulang) di seluruh penjara termasuk Penjara Sungai Buloh.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini berkata pelbagai usaha yang dilakukan bagi meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kesesakan penjara.

“Antaranya pemasangan katil bertingkat untuk kegunaan banduan di sel serta dormitori penjara, dan bekerjasama dengan mahkamah bagi mempercepatkan lagi perbicaraan.

“Selain itu, memfokuskan lagi program pemulihan dalam komuniti yang ketika ini telah melibatkan 82,487 banduan dan dengan kadar residivis hanya 0.24 peratus,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya program pemulihan dalam komuniti itu turut melibatkan sejumlah banduan sabitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

Usaha lain termasuk menggunakan bekas tapak Program Latihan Khidmat Negara sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni dan Penjara Satelit serta sedang mengkaji penggunaan peranti pemantauan elektronik (EMD) kepada banduan reman berisiko rendah bagi mengelakkan mereka ditahan di penjara.

“Melalui langkah yang diambil, masalah kesesakan yang dialami oleh Penjara Sungai Buloh telah dapat dikurangkan.

“Peratus lebihan jumlah banduan pada ketika ini adalah 36 peratus berbanding kapasiti maksimum 4,200 banduan iaitu tambahan 20 peratus daripada kapasiti sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara memaklumkan langkah mengurangkan kesesakan akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi yang akan turut memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah banduan reman. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image