GUA MUSANG: Kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Gob, dekat sini, berdepan dengan beberapa isu termasuk tidak dapat menghantar anak ke sekolah, mendapatkan bantuan perubatan bulanan dan membeli bekalan makanan ekoran jalan perhubungan rosak akibat cuaca hujan.

Malah, penduduk mendakwa beberapa kenderaan milik mereka juga mengalami kerosakan akibat digunakan untuk meredah jalan yang berselut tebal semenjak Ogos tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Adi Liman, 37, berkata dia pernah cuba meredah jalan itu untuk membuat urusan yang banyak tergendala di Bandar Gua Musang tetapi kenderaannya tidak dapat bergerak dan tersangkut di dalam lumpur tebal.

“Sehingga kini kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux saya masih lagi di dalam lumpur di sana dan sudah enam bulan terpaksa dibiarkan di tempat itu,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Kampung Gob, di sini.

Rohani Adik, 32, pula berkata keadaan jalan yang rosak teruk menyebabkan anak sulungnya Noraini Adi, 13, tidak dapat ke sekolah sejak Disember lepas.

Katanya, disebabkan keadaan itu, anaknya hanya mampu belajar dan mengulang kaji sendiri di rumahnya di Kampung Gob.

“Saya sangat risau memikirkan anak sulung yang akan memasuki peringkat sekolah menengah di tingkatan satu bermula Mac nanti.

“Sehingga hari ini anak masih belum dapat ke sekolah untuk menamatkan sekolah rendahnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis kerana masalah jalan,” katanya.

Bagi Angah Asu, 65, dia telah terputus bekalan ubat selama dua bulan ekoran daripada keadaan jalan darat yang tidak dapat dilalui oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala dan pemberian bekalan ubat-ubatan.

“Seingat saya dua bulan lepas pasukan KKM tidak dapat masuk ke sini untuk menghantar ubat yang sepatutnya saya dapat, kali terakhir saya dengar mereka terpaksa berpatah balik apabila sampai di Sungai Blaer,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Roslina Bun berkata pihaknya akan membuat pemantauan di kawasan terbabit dan sedang menunggu cuaca kembali baik.

“JAKOA akan menghantar kenderaan untuk masuk ke kawasan itu bagaimanapun, kita perlu menunggu cuaca kembali pulih,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image