ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit, apabila ibu jari kaki kanannya tersepit eskalator di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan dari pihak pengurusan pusat beli belah berkenaan pada pukul 2.54 petang.

“Seramai tujuh pegawai dan anggota telah ke lokasi kejadian. Kerja-kerja menyelamat mangsa turut mendapat bantuan daripada pihak penyelenggaraan pusat beli belah berkenaan, dan ia mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan jari kaki mangsa yang tersepit.

“Rawatan awal telah diberikan oleh Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), sebelum mangsa dibawa ke Putra Medical Center (PMC) oleh pihak pengurusan pusat beli belah itu, untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wartawan Bernama yang kebetulan berada di lokasi kejadian mendengar jeritan dan tangisan kanak-kanak lelaki itu, sebelum bergegas ke bahagian eskalator yang terletak di tingkat dua pusat beli belah berkenaan.

“Pihak penyelenggaran cuba membantu mangsa sebelum bomba sampai, tetapi saya minta mereka berhenti kerana ketika itu mangsa menangis dan meraung kesakitan. Saya bimbang akan berlaku kecederaan yang lebih parah.

“Sebaik bomba sampai mereka cuba menenangkan mangsa sambil cuba mengeluarkan jari kakinya yang tersepit. Selepas kira-kira 15 minit, ia berjaya dikeluarkan dan mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian jari kaki kanannya,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image