JKKP arah lombong henti operasi selepas pekerja maut jatuh dalam palong pengisar

KOTA BHARU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan telah mengarahkan pemilik premis sebuah lombong di Felda Aring 5, Gua Musang untuk menghentikan semua kerja operasi pemprosesan bijih susulan kemalangan maut ke atas seorang buruh, Khamis lepas.

Pejabat Pengarah JKKP Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepasukan pegawai penyiasat jabatan itu telah ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima berita mengenai kejadian yang berlaku pada 8.50 pagi itu.

“Kejadian berlaku selepas seorang lelaki warga Indonesia melakukan kerja-kerja rutin iaitu membersihkan mesin mencuci bijih sebelum memulakan operasi. Lelaki itu dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam mesin ketika sedang membuat pemerhatian pada mesin selepas meletakkan gris,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang yang sedang bekerja dan melindungi orang lain daripada bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan pelbagai sektor.

“Untuk rekod, JKKP Kelantan telah mendakwa tiga syarikat perlombongan yang beroperasi di Aring serta mengeluarkan pelbagai kompaun atas kesalahan tidak mematuhi perundangan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Indonesia Sakdan Muhammad, 36, maut selepas terjatuh kedalam palong pengisar bijih besi di sebuah lombong di Kampung Aring 5, Gua Musang.

Warga Indonesia yang baharu bekerja di lombong berkenaan dua minggu lepas itu meninggal dunia di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di seluruh badan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image