GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bagi meningkatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) negeri ini dalam memastikan semua kanak-kanak memperoleh perlindungan daripada wabak itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemberian vaksin telah diadakan di dewan yang dikendalikan pihak swasta, hospital, klinik swasta dan klinik kesihatan malah terdapat juga pasukan bergerak yang pergi ke sekolah untuk pemberian itu.

“Beberapa sesi penerangan sama ada secara fizikal dan dalam talian telah dilaksanakan oleh pihak JKNPP dah Pejabat Kesihatan Daerah melibatkan pelbagai agensi termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jabatan Kemajuan Masyarakat, sekolah-sekolah swasta, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, sekolah agama dan badan bukan kerajaan yang berkaitan bukan warganegara,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JKNPP turut memaklumkan bahawa pindaan kepada borang kebenaran juga telah dilaksanakan bagi meyakinkan ibu bapa bahawa vaksin adalah selamat dan sekiranya mengalami kesan sampingan, pihak Kementerian Kesihatan akan memberikan rawatan sewajarnya.

Chow berkata setakat semalam, data JKNPP menunjukkan seramai 52.9 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima suntikan satu dos vaksin di bawah PICKids.

“Kini, walaupun pusat pemberian vaksin (PPV) telah ditutup bagi secara jumpa terus, sebanyak 13 klinik kesihatan awam di Pulau Pinang masih lagi menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin PICKids secara janji temu.

“Justeru, kasihanilah anak-anak kita. Ibu bapa perlu membuat keputusan yang betul dengan membawa anak di bawah jagaan masing-masing mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada kadar segera,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image