JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan bermesyuarat untuk kali pertama pada minggu hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata mesyuarat yang akan dipengerusikannya itu, akan turut mendengar pandangan 12 ahli JPK yang turut terdiri daripada enam Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan enam daripada blok pembangkang.

“Kita akan dengar dahulu pandangan daripada ahli JPK Parlimen. Tetapi kalau kita rujuk kepada surat daripada Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malah Ketua Pembangkang pun cakap mereka setuju pada dasarnya.

“Dan kebanyakan perbahasan, saya boleh kata, 95 peratus perbahasan setuju pada dasarnya.

“Cuma, kita perlu perhalusi sedikit peruntukan-peruntukan secara teliti. Nak tengok kepada penguatkuasaan dan juga tahap denda dan sebagainya. Itu kita boleh bincang,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat Negeri Johor di Bandar Dato' Onn di sini, hari ini.

Antara anggota JPK dari blok kerajaan ialah Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria dari UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu), Ahmad Fadhil Shaari (Pas) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS).

Sementara wakil Ahli Parlimen pembangkang dalam jawatankuasa itu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang), Datuk Seri Dzulkifli Ahmad (Amanah), Datuk Seri Madius Tangau (UPKO), Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP), Datuk Darrell Liking (Warisan) dan Sivarasah Rasiah (PKR).

RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Khairy pada 27 Julai lepas, antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.

RUU itu bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image