KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan kadar minimum bagi polisi perlindungan insurans (Covid-19 dan pengembaraan) sebanyak US$20,000, untuk pengembara yang ingin memasuki Malaysia, selaras dengan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keperluan itu terpakai ke atas pengembara warganegara asing yang memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Pendek, tanpa mengira status vaksinasi Covid-19 mereka.

“Perlindungan insurans tersebut antara lain bagi menanggung kos kuarantin, rawatan dan kemasukan ke hospital, sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 semasa berada di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata sebelum berlepas ke Malaysia, pengembara perlu mematuhi satu daripada protokol am ditetapkan iaitu mengisytiharkan melalui aplikasi MySejahtera bahawa mereka memiliki polisi perlindungan insurans berkenaan.

Mengambil maklum ketetapan terkini kerajaan Singapura berhubung insurans tersebut serta atas dasar timbal balas, Khairy berkata keperluan untuk memiliki polisi perlindungan insurans (Covid-19 dan pengembaraan) dikecualikan khusus bagi para pengembara yang lengkap vaksinasi.

Beliau berkata golongan yang dikecualikan terdiri daripada warganegara Singapura atau Malaysia; penduduk tetap Singapura atau Malaysia serta pemegang Pas Jangka Panjang di Singapura atau Malaysia.

“Pengecualian ini terpakai bagi pengembara yang memasuki Malaysia dari Singapura dengan menggunakan laluan udara, darat dan laut,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata tanggungjawab setiap individu dan solidariti dalam kalangan komuniti merupakan aspek penting dalam usaha negara mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata walaupun negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik, orang ramai diingatkan memakai pelitup muka setiap masa, apabila terdapat kehadiran individu lain dan sentiasa membersihkan tangan sama ada menggunakan sabun atau pensanitasi tangan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mengelak perhimpunan ramai yang sukar menjalankan penjarakan fizikal dan tidak berada di ruang yang mempunyai pengudaraan yang tidak baik.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image