KOTA KINABALU: Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar pengangguran di Sabah menurun kepada 8.2 peratus atau 174,200 orang dalam suku ketiga tahun ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata angka itu, dilihat menurun berbanding 8.6 peratus atau 177,000 orang dalam suku kedua tahun ini, dan 9.1 peratus atau 188,300 orang pada suku pertama tahun sama.

“Statistik itu menunjukkan keberkesanan program berimpak tinggi seperti Pitchborneo, karnival pekerjaan, latihan teknikal dan vokasional, keusahawanan, dan pelbagai latihan kemahiran dan peningkatan kompetensi belia serta siswazah, membolehkan mereka lebih berdaya saing di pasaran pekerjaan.

“Keseluruhan seramai 15,554 orang belia telah mendapat pekerjaan sepanjang 2022, melalui pelbagai inisiatif KSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah),” katanya menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2023.

Sementara itu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata Sabah berjaya melepasi sasaran ketibaan pelancong tahun ini iaitu 1.3 juta pelancong dalam hanya tempoh 10 bulan.

Beliau berkata dalam tempoh 10 bulan itu, Sabah menerima seramai 1,356,056 pelawat dengan anggaran RM2.4 bilion perbelanjaan pelancongan diterima Negeri di Bawah Bayu itu, menunjukkan peningkatan 752.9 peratus berbanding kedatangan pelancong tahun lepas.

Joniston berkata daripada jumlah kedatangan pelancong itu, sektor pelancongan domestik menjadi penyumbang terbanyak iaitu 1,180,050 orang manakala pelancong antarabangsa direkodkan seramai 176,006 orang.

“Peningkatan yang ketara ditunjukkan bagi beberapa pasaran antarabangsa seperti Singapura, Brunei dan beberapa pasaran Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Belanda, yang telah mencapai 43 peratus sehingga 65 peratus daripada paras prapandemik,” katanya.

Joniston berkata ketika ini, Sabah menerima 354 penerbangan domestik dengan kapasiti 57,991 tempat duduk setiap minggu, dan 47 penerbangan antarabangsa seminggu dengan kapasiti 8,558 tempat duduk melalui penerbangan terus lima destinasi iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan, Incheon, Manila dan Bangkok.

“Sabah juga dijangkakan akan memperoleh perkhidmatan penerbangan antarabangsa tambahan daripada Taipei, Narita, Busan dan Hong Kong, mulai Disember 2022,” katanya.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Arif, mengumumkan penubuhan Majlis Halal Sabah melalui Mesyuarat Kabinet negeri 23 Nov lepas, dengan majlis itu antara lain memutuskan tentang isu halal, dan menyelaras tindakan berkenaan produk, bahan atau makanan halal, melibatkan bidang kuasa agensi terlibat.

Beliau berkata majlis itu juga boleh mencadang apa-apa langkah baharu bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan halal di negeri itu, yang tertakluk kepada dasar semasa kerajaan dan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Isu kemasukan produk makanan khususnya produk daging melibatkan lembu, kerbau dan ayam yang diragui ketidak halalannya dari segi syarak, mendorong kepada penyelarasan di peringkat agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berkaitan dengan bidangkuasa masing-masing,” katanya.

Persidangan bersambung esok.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image