SUNGAI SIPUT: Seorang kakitangan dan seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput di sini atas pertuduhan membunuh seorang pelatih pusat itu pada bulan lepas.

Kakitangan Puspen, Nur Aslam Faizal, 35, dan pelatih Suffian Effendy Kadri, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama membunuh Mohd Ali Mohd Nor, 50, di Puspen Perlop di sini pada kira-kira 10.30 pagi, 31 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. S. Vitthiyeswary dan Nur Aslam diwakili peguam Keshviner Singh manakala Suffian Effendy tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, polis menahan tiga kakitangan dan seorang pelatih berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat itu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan mangsa dan keputusan bedah siasat mengesahkan, kecederaan pada mangsa adalah akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image