KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijumpai di dalam takungan air kumbahan di Ketereh di sini semalam disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Kok Lanas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 5.25 petang semalam.

Katanya terdahulu bapa tiri mangsa dan isterinya menyedari ketiadaan kanak-kanak itu di rumah kedai mereka di Jalan Kuala Krai-Kok Lanas kira-kira 2.25 petang.

“Mangsa kemudian dijumpai oleh keluarga dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam takungan air kumbahan di bahagian belakang rumah kedai.

Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kok Lanas dan pegawai perubatan bertugas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosdi berkata mayat kanak-kanak itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) untuk tujuan bedah siasat dan pemeriksaan.

“Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah ‘drowning’ (lemas air) selain tiada sebarang kecederaan pada tubuh badan simati,” katanya.

Katanya lagi, mayat kanak-kanak itu telah diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image