PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas lebih 10 tan metrik pelbagai jenis bunga api dan mercun bernilai RM238,259 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, Jumaat lepas.

Pengarahnya Ismail Hashim berkata pemeriksaan pada kira-kira 5 petang ke atas sebuah treler membawa kepada penemuan mercun dan bunga api itu yang disembunyikan di sebalik timbunan guni berisi sabut kelapa.

“Turut ditahan pemandu treler warga tempatan berusia 40-an bagi membantu siasatan tetapi dibebaskan dengan jaminan.

“Berdasarkan siasatan awal, modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan bertindak mengikrarkan barangan dagangan yang dibawa sebagai sabut kelapa menerusi Borang Kastam 1 bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabat JKDM Padang Besar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti dan mengesan pengimpot yang terlibat.

Katanya bunga api dan mercun itu dipercayai untuk pasaran di sekitar utara dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133(1)(a) akta sama.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image