MERSING: Seorang lelaki warga Singapura maut manakala seorang lelaki warga emas cedera parah akibat tersepit apabila van dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 20, Jalan Mersing-Jemaluang di sini, semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Zainuddin Ahmad, berkata mangsa, Megat Omar Ismail, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Md Shash Mohd Said, 60, mengalami cedera parah.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.53 pagi, sebelum sebuah jentera ‘Fire Rescue Tender’ dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Nissan dan sebuah lori HINO 10 tan. Bagaimanapun, pemandu lori, Muhamad Fazli Bahri, 48, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan peralatan khas ‘rescue tool cutter’ dan ‘spreader’ sebelum Megat Omar disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan jenazahnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, Md Shash yang cedera parah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke Hospital Mersing. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image