KUALA LUMPUR: Pengumuman kenaikan kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 (M1) hari ini bakal memanfaatkan seramai 64,301 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kenaikan kadar pinjaman yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM183.5 juta untuk tempoh setahun itu adalah antara inisiatif kerajaan bagi meringankan beban pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) terutamanya daripada golongan M40.

“Kita prihatin dalam mendengar suara-suara terutamanya pelajar daripada keluarga M40 yang memohon supaya kita pertimbangkan (untuk diberi kenaikan kadar pinjaman),“ katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri perasmian Semarak Patriotik IPT di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan kadar pinjaman PTPTN kepada golongan M40 (M1) dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.

Mengulas lanjut, Noraini berkata kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN itu pula akan memanfaatkan seramai 33,837 pelajar IPT awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM101.5 juta untuk tempoh setahun.

Mengenai program hari ini, acara itu diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records dengan mencatat penyertaan teramai melafazkan Ikrar Rukun Negara melibatkan seramai 112,413 pelajar IPT seluruh negara secara hibrid.

Acara yang berlangsung di Stadium Pavilion, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini turut menyaksikan penglibatan semua Universiti Awam, politeknik, kolej-kolej komuniti serta beberapa IPT Swasta di sekitar Lembah Klang.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image