KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Okt ini untuk keputusan sama ada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (gambar) akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah pihaknya hanya perlu membuktikan tindakan Syed Saddiq yang mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun rasmi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu pada 6 Mac 2020 tergolong di bawah kesalahan bersubahat.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan Syed Saddiq melakukan kesalahan pecah amanah kerana ia bukan elemen pertuduhan ke atasnya.

“Harus diingat kesalahan bersubahat ini adalah satu kesalahan berbeza daripada apa yang dilakukan oleh saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali. Kami hanya perlu menunjukkan setiap tindakan Rafiq Hakim adalah disebabkan arahan yang diberikan oleh tertuduh yang dipengaruhi dengan niat dan motif jahat tertuduh,“ katanya.

Wan Shaharuddin berkata Syed Saddiq juga telah mengarahkan Rafiq Hakim untuk memindahkan wang kutipan dana RM120,000 daripada akaun Maybank Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke dalam akaun bank milik Ahli Parlimen itu pada April 2018.

“ABBE ditubuhkan untuk menjana pendapatan bagi Armada dan tujuan kutipan dana adalah untuk mendapatkan dana untuk digunakan oleh Armada untuk kempen PRU14. Tidak pernah sama sekali timbul isu bahawa tujuan kutipan dana tersebut dilakukan untuk menggantikan semula wang yang telah digunakan oleh tertuduh untuk PRU14,“ katanya.

Bagi kes pengubahan wang haram pula, beliau berkata terdapat dua transaksi dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018 masing -masing RM50,000 daripada akaun Maybank milik tertuduh ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.

Wan Shaharuddin berkata keterangan Rafiq Hakim dan Pegawai Penyiasat SPRM Putrajaya, Asbi Munip menjelaskan bahawa sebarang kutipan dana adalah milik Armada dan bukan milik tertuduh.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo berhujah bahawa tidak dipertikaikan bahawa semua wang yang dibelanjakan daripada pengeluaran RM1 juta itu telah dibelanjakan untuk program Armada dan Syed Saddiq tidak menerima satu sen pun daripada wang itu.

“Ini menunjukkan bahawa, bertentangan dengan kes pendakwaan, tertuduh bertindak untuk melaksanakan dan tidak melanggar Perlembagaan Bersatu. Dalam hal ini, kami berhujah bahawa tertuduh sepatutnya dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan Seksyen 405,“ katanya.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 27 Sept, selepas memanggil 30 saksi dalam perbicaraan yang bermula 21 Mei dan antara saksi pendakwaan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim yang merupakan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image