ALOR GAJAH: Kerajaan sedang melaksanakan rundingan dengan pemain industri minyak sawit bagi merangka formula terbaik untuk mempercepatkan penurunan harga bekalan tersebut.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azman Mohd Yusof berkata harga minyak masak sawit bergantung kepada pasaran dunia yang sering mengalami naik turun.

“Apa yang kita lakukan sekarang adalah kita melakukan rundingan dengan pihak industri supaya mempertimbangkan untuk menentukan satu formula yang kalau boleh diturunkan (harga minyak masak sawit) lebih cepat sikit tapi ada ‘average’lah supaya mereka juga nak memastikan kos operasi tidak terkesan kepada mereka juga.

“Pihak industri sebenarnya bersetuju untuk sama-sama membantu kerajaan dengan mengambil kira bebanan dihadapi oleh rakyat bagi memastikan harga (minyak masak sawit) juga turun sepertimana (harga) pasaran dunia,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sebuah kilang menghasilkan barang permainan yang turut dihadiri Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem di Kawasan Perindustrian Alor Gajah di sini hari ini.

Azman berkata selepas harga sawit dunia menurun sejak kebelakangan ini, ada pemain industri yang mengambil inisiatif menurunkan harga minyak masak sawit botol yang tidak bersubsidi untuk dijual di pasaran.

“Sesetengah minyak masak sawit yang botol tak bersubsidi, telah pun ada peringkat-peringkat harga yang telah turun, sampai ke peringkat RM29. Mungkin ada jenama-jenama baharu (yang dikeluarkan pemain industri). Jadi dalam hal ini memudahkan rakyat untuk membuat pilihan,“ katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata kerajaan akan meneruskan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di seluruh negara sehingga hujung tahun ini bagi membantu rakyat mendapatkan harga bekalan makanan dengan lebih murah.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image