KUALA BERANG: Kerajaan Negeri Terengganu akan mempertimbangkan cuti khas pada 20 November ini, sehari selepas hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar).

Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini.

“Ada negeri yang berbeza-beza sudah umum cuti hari Jumaat kerana (perantau) nak balik mengundi, tapi kita (Terengganu) hari Jumaat, Sabtu sudah cuti.

Namun, kita akan tengok bagaimana, biarlah ia mengikut kaedah dan bukan suka-suka boleh buat keputusan bila-bila masa, Insya-Allah kita akan maklumkan kemudian,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama masyarakat setempat yang turut disertai calon PAS-Bersatu bagi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid.

Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mengumumkan cuti umum pada 18 November, sehari sebelum hari pengundian bagi memudahkan pergerakan pengundi yang mahu pulang mengundi di kampung.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image