KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu mengurangkan kejadian jenayah di dalam komuniti, kata Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman SAC Saiman Kasran.

Beliau berkata antara fungsi utama KRT adalah memerhati dan menyiasat semua isu mengenai konflik masyarakat di dalam kawasan terbabit seterusnya melaporkan maklumat dan pemerhatian yang dicurigai kepada polis.

“Masyarakat perlu mewujudkan sifat ambil tahu dalam kawasan kejiranan. Kenal pasti latar belakang pekerjaan, siapa jiran mereka dan sebagainya supaya apabila ada elemen luar yang masuk ke dalam kawasan perumahan, mereka tahu untuk bertindak.

“Menerusi Skim Rondaan Sukarela yang terdapat di dalam KRT, masyarakat dapat mengawal dan menjaga kawasan kejiranan masing-masing daripada dicerobohi atau mencegah aktiviti jenayah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Saiman berkata pihaknya tidak mampu untuk membuat rondaan di semua kawasan perumahan maka KRT ini berperanan menjadi ‘mata-mata’ polis.

“Mereka boleh menangkap penjenayah sekiranya melihat kesalahan berlaku di hadapan mereka (citizen arrest),” katanya.

Mengulas lanjut, Saiman berkata polis khususnya JPJKK memainkan peranan konsultatif kepada komuniti selain mendidik serta membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam mencegah jenayah.

“Polis sememangnya mempunyai hubungan erat dengan KRT. Jika ada KRT yang inginkan kepakaran polis, kami akan datang beri tunjuk ajar dan taklimat antaranya mengenai cara untuk mengenali suspek,” katanya.

KRT diwujudkan di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) dalam Ordinan Darurat 1969 adalah untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan tertentu yang dikenali sebagai sektor berikutan kejadian-kejadian yang menggugat perpaduan nasional ketika itu.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image