PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi pada minggu epidemiologi ketiga tahun ini (ME3/23) iaitu dari 15 Jan hingga 21 Jan menurun lapan peratus atau 201 kes kepada 2,319 kes berbanding 2,520 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME3/23.

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 7,058 kes berbanding 2,165 kes dalam tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan 226 peratus atau 4,893 kes, dengan tiga kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding sifar kematian bagi tempoh sama pada 2022.

“Sebanyak 80 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini (ME3/23) berbanding 67 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya,“ katanya ia melibatkan 50 hotspot di Selangor, 14 di Sabah, sembilan di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta tujuh di Pulau Pinang.

Beliau berkata survelan chikungunya merekodkan 11 kes pada ME3/23 dengan masing-masing tiga kes dari Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta dua kes dari Perak, dengan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 47 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 150 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya negatif,“ katanya.

Situasi denggi terkini dan carian status denggi di kawasan kediaman, tempat kerja serta kawasan lain yang akan dilawati dapat disemak di laman sesawang iDengue. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image