KUALA LUMPUR: Reman terhadap pasangan suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes letupan yang mengorbankan seorang pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, 29 Dis lepas disambung sehingga 17 Jan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak (gambar) dalam kenyataan hari ini berkata pagi tadi pihaknya memohon untuk menyambung reman terhadap dua suspek berusia 33 dan 30 tahun itu, yang sepatutnya berakhir hari ini.

Beliau berkata mahkamah membenarkan reman disambung tujuh hari lagi bermula esok sehingga 17 Jan.

Pada Rabu lepas pasangan berkenaan ditahan di rumah mereka di Serdang, Kedah dan polis turut merampas beberapa barang kes antaranya pisau pemotong kertas dan mercun bola yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi antara mangsa dan seramai 36 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 29 Dis lepas, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image