KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, menggesa pihak pembelaan agar tidak melakukan serangan peribadi dalam hujahan mereka.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib, merujuk kepada hujahan berkaitan permohonan pembelaan bagi mendapatkan laporan forensik, membabitkan perbualan antara ahli perniagaan G. Gnanaraja dan Pengarah Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, berhubung pemberian ‘Coklat RM2 juta’ yang didakwa telah diberikan kepada Lim sebagai rasuah.

Ahmad Akram menyuarakan sedemikian, setelah melihat pertikaian berterusan antara Ketua Pendakwaan kes itu, iaitu Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, pada perbicaraan kes Lim di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, hari ini.

Ia selepas Gobind mempertikaikan peranan seorang lagi TPR iaitu Nik Haslinie Hashim, yang mengendalikan kes Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan kes Lim di sini.

Ahmad Akram berkata pihak pembelaan perlu mengemukakan hujahan mereka berdasarkan fakta dan bukti, dan bukannya melalui serangan peribadi terhadap TPR.

“Serangan terhadap TPR perlu dihentikan, kerana mereka pegawai kepada mahkamah. Ini akan menarik perhatian media yang tidak perlu. Kami (pihak pendakwaan) berada di sini hanya untuk menjalankan tugas kami. Malah kami tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi di sini,” katanya.

Terdahulu, Gobind berkata Nik Haslinie yang turut mengendalikan kes melibatkan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam, sudah sedia maklum mengenai fakta melibatkan kes itu.

“Nik Haslinie yang juga salah seorang TPR dalam kes ini sudah maklum yang duit RM2 juta itu bukanlah untuk diberikan kepada Lim, tetapi untuk Gnanaraja. Mereka tahu fakta ini semasa siasatan lagi. Mengapa mereka ingin menyembunyikan bukti?

“Mereka (pihak pendakwaan) masih berkeras mahu membantah permohonan kami. Dakwaan bahawa mereka tidak tahu mengenai kes Gnanaraja di Shah Alam adalah palsu. Ini penghinaan mahkamah di tahap tertinggi dan penuh dusta,” kata peguam itu.

Kesal dengan pernyataan itu, Wan Shaharuddin menegaskan bahawa dokumen yang dimohon pihak pembelaan tidak relevan dengan perbicaraan kes Lim.

“Tertuduh yang dibicarakan hari ini bukanlah Gnanaraja atau Zarul Ahmad, tetapi Lim. Mereka perlu meyakinkan mahkamah bahawa dokumen tersebut relevan. Bukannya tugas kami (pihak pendakwaan) untuk mengatakan sebaliknya.

“Permohonan ini hanyalah salah satu strategi untuk ‘memancing maklumat’ yang dilakukan bukan dengan niat baik. Sekiranya permohonan ini dibenarkan, ia akan membuka jalan kepada lebih banyak lagi yang tidak berkaitan,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azura menetapkan 5 April depan untuk memutuskan berhubung permohonan laporan forensik berkenaan.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image