JOHOR BAHRU: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dan kerajaan negeri bercadang menubuhkan satu pasukan petugas (task force) bagi meneroka peluang kerjasama termasuk dalam ekonomi dan pelaburan di antara kedua-dua pihak.

Konsul Jeneralnya Sigit S. Widiyanto berkata idea penubuhan pasukan petugas itu adalah hasil pertemuan beliau dengan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, baru-baru ini.

Beliau berkata menerusi pasukan petugas itu, potensi pelaburan dalam pelbagai sektor akan dapat dikenal pasti di antara Indonesia dan Johor.

“Sebelum ini tiada kerjasama khas sebegini antara KJRI Johor Bahru dengan negeri ini sedangkan kedua-duanya mempunyai potensi besar termasuk memudahkan kemasukan pelabur yang berminat.

“Ketika ini kita sedang mengkaji sektor-sektor ekonomi yang boleh dilibatkan dan Insya-Allah, bulan depan akan ada pertemuan rasmi antara KJRI, Menteri Besar selain beberapa Exco Johor bagi membincangkan lebih lanjut bidang kerjasama yang akan dilakukan nanti,“ katanya.

Sigit berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Kelab Media Johor di pejabat KJRI Johor Bahru, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Kelab Media Johor Mohamad Fauzi Ishak.

Selain dari itu, Sigit berkata Indonesia juga mengalu-alukan mereka yang berminat untuk melabur di Ibu Kota Negara Nusantara di Kalimantan Timur, yang sedang dibangunkan sejak tahun lepas dan hanya akan selesai pada 2045.

“Banyak bidang kerjasama boleh dirintis di Nusantara termasuk bidang infrastruktur, perumahan, pendidikan, kesihatan dan komersial.

“KJRI juga bercadang untuk mengadakan sesi khas bersama pelabur negeri ini yang berminat untuk bekerjasama membangunkan Nusantara dalam masa terdekat, malah kita juga akan membawa pelabur Indonesia yang berminat melabur di negara ini dan di Johor bagi merapatkan lagi hubungan sedia ada,“ kata Sigit. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image