KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan akses perubatan mencukupi kepada bekas pesakit Covid-19 yang mempunyai komplikasi atau dijangka mengalami komplikasi ‘Long Covid’.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali(gambar) berkata mereka yang dikenal pasti akan diberi janji temu sejurus dibenarkan keluar daripada hospital di fasiliti kesihatan dan klinik pakar yang bersesuaian dengan diagnosis terakhir mereka.

“Begitu juga yang mempunyai komorbid, mereka akan diminta membuat rawatan susulan di fasiliti kesihatan seperti sebelum mereka dijangkiti Covid, sekiranya mereka tidak mempunyai jadual rawatan susulan, mereka akan diberi janji temu ke pakar tertentu,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan langkah yang diambil untuk memastikan bekas pesakit positif Covid-19 yang mengalami 'Long Covid' mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara dan adakah KKM mempunyai data mengenai jumlah 'Long Covid' melebihi 12 minggu setakat Oktober tahun ini.

Dr Noor Azmi berkata bekas pesakit Covid-19 juga boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam atau swasta yang berhampiran secara jumpa terus sekiranya mempunyai sebarang gejala, manakala yang mengalami gejala yang semakin teruk semasa dalam tempoh pemantauan dan memerlukan rawatan segera, akan dimasukan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dr Noor Azmi berkata sehingga November lepas, seramai 16,890 bekas pesakit Covid yang dibenarkan keluar dari hospital diberi janji temu dan datang untuk rawatan susulan di fasiliti kesihatan, bagi tujuan pemantauan dan menerima rawatan bagi gejala ‘Long Covid.’

Beliau berkata melalui program rehabilitasi yang diwujudkan, pesakit ‘Long Covid’ boleh mendapatkan rawatan susulan di 41 fasiliti kesihatan di seluruh negara iaitu 32 di bawah KKM, tiga hospital universiti, empat hospital swasta dan satu pusat rehabilitasi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, berdasarkan pemantauan ke atas pesakit, terdapat lima gejala utama yang sering dihidapi pesakit Long Covid iaitu kelesuan (78.9 peratus); sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu (52.9 peratus); batuk (18.1 peratus); kesukaran tidur (14.5 peratus); dan anxiety (kerisauan) (10.4 peratus).

Menurut laman web KKM, Long Covid adalah sindrom apabila bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan gejala itu tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image