Konvoi KMKM 2022 mulakan kembara di Johor hari ini

MERSING: Selepas Pahang, konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM 2022) tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin di sini dengan membawa baton Jalur Gemilang, sekali gus menjadi simbolik bermulanya kembara itu di negeri ini tengah hari tadi.

Ketibaan peserta konvoi yang menaiki lapan motosikal berkuasa tinggi, 20 motosikal kapcai dan 12 kenderaan pelbagai jenis melibatkan 64 peserta itu disambut Pegawai Daerah Mersing Mohammed Shakib Ali dan Pengarah Penerangan Johor Naim Fahmi Ahmad Tajuddin pada pukul 12.17 tengah hari tadi.

Naim Fahmi berkata program yang diadakan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2022 itu antara lain merupakan simbolik persamaan dan persefahaman dalam usaha menyuburkan semangat patriotik.

“Justeru, saya menyeru agar kita mewarnai dan menghiasi kediaman, pejabat kerajaan dan swasta serta setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi menggelorakan semangat patriotik dan cintakan tanah air.

“Bagi pelajar sekolah, amalan mengibarkan bendera sudah menjadi kebiasaan pada awal usia mereka dan guru perlu meneruskan amalan ini supaya kekal sebagai tradisi yang baik dalam kalangan generasi muda, “ katanya ketika berucap pada program KMKM 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata konvoi KMKM 2022 itu akan melalui enam daerah iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Kluang, Batu Pahat dan Muar.

“Konvoi yang berkonsepkan pass baton dengan membawa baton Jalur Gemilang ke seluruh negara dan diserahkan di setiap sempadan negeri itu akan berakhir di Laman Maharani, Muar pada Selasa ini.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan di setiap check point seperti pameran, pertandingan mewarna, pertandingan Bintang Patriotik, selain aktiviti yang menonjolkan keunikan dan tarikan budaya, makanan serta gaya hidup komuniti setempat negeri,“ katanya.

Terdahulu, Ketua Konvoi KMKM 2022 negeri Pahang Badrul Hisham Mohamad menyerahkan baton Jalur Gemilang kepada Mohammed Shakib sebagai simbolik bermulanya KMKM bagi negeri Johor yang bermula hari ini di daerah Mersing. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image